Setiap manusia pastinya menginginkan tubuh sihat. Kata orang walau sebanyak mana pun wang dalam simpanan, ia masih belum mampu membeli kesihatan.
      Bagi wanita yang baru melahirkan, kenaikan berat badan adalah satu masalah yang cukup memeningkan. Manakan tidak, bayi perlu disusui, jadi adalah satu perkara mustahil untuk si ibu mengamalkan diet kerana ia boleh memberi kesan pada bayi.
            
  Cara menurunkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan adalah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ibu-ibu menyusu. Ini kerana, ia dapat mempengaruhi pengeluaran mahupun kualiti susu ibu itu sendiri.
         
      Disebabkan itulah, bagi menjaga kuantiti dan kualiti susu tersebut maka ibu yang menyusu harus menambah pengambilan dalam sehari sekitar 300 kkal. Bagaimanapun, sekiranya si ibu masih ingin mencuba  menurunkan berat badan tetapi masih meneruskan penyusuan maka ada beberapa cara selamat yang boleh dipraktikkan:

Bakar kalori dengan menyusukan bayi

   Berusahalah menyusukan bayi anda sehingga usianya dua tahun. Jangan menganggap ini satu perkara yang menyusahkan kerana tubuh ibu menyusu berupaya menghasilkan hormon yang membantu menurunkan berat badan sekali gus mengembalikan bentuk tubuh secara semula jadi.

   Terdapat beberapa kajian mengatakan dengan menyusukan bayi, tubuh ibu berkenaan secara tidak langsung telah membakar sekitar 300 ke 500 kkal sehari bersamaan dengan aktiviti berbasikal selama satu jam.

Pilihlah makanan

       Pilih jenis makanan yang banyak mengandungi sayur, buah-buahan, karbohidrat kompleks, lemak skim serta sumber protein yang rendah. Sebagai contoh, susu rendah lemak, daging ayam tanpa kulit, ikan, telur, tauhu, tempe dan kekacang. Dengan mengambil makanan-makanan tersebut secara teratur, tidak mustahil anda mampu mendapatkan bentuk tubuh yang diinginkan serta tahap kesihatan yang optimum.

Makanan segera perlu elakkan

      Elakkan mengambil makanan segera atau yang telah disejukkan beku. Jika terpaksa, bolehlah diambil tetapi pastikan ia dalam jumlah sedikit. Bagi mengelakkan rasa tertekan berpanjangan kerana tidak berpeluang mengambilnya maka alihkan seketika pemikiran anda kepada si kecil yang sememangnya inginkan perhatian. Mungkin dengan berjalan-jalan bersamanya berupaya membakar kalori di tubuh anda.

Lakukan senaman ringan

      Sebaiknya, setelah selesai menyusukan bayi maka lakukan sedikit senaman ringan bagi mengurangkan rasa tidak selesa di bahagian payu dara. Gunakan pakaian dalam yang memang dikhususkan buat ibu-ibu menyusu.

      Boleh dimulai dengan berjalan di kawasan sekitar, berbasikal atau berenang. Sekiranya telah dilakukan berulang kali maka bolehlah ditingkatkan masanya secara berperingkat. Sebagai contoh, lakukan latihan menguatkan dinding perut dan seterusnya. Jika merasa sakit di kawasan tertentu maka dapatkanlah rawatan doktor dengan segera. 

***petikan dari: Mingguan Wanita****