Lelaki memang secara dasarnya cukup ‘penakut’ mendapatkan rawatan apatah lagi melakukan pemeriksaan kesihatan. Namun tahu kah anda sikap tersebut boleh memudaratkan kesihatan.
 
Sehingga kadangkala apabila lelaki menyedari masalah kecil berlaku pada diri sendiri terutama melibatkan soal kesihatan, mereka akan bersikap acuh tidak acuh. Sebelum terlambat, apa kata periksa kesihatan terlebih dahulu dan kenal pasti antara penyakit tersembunyi yang selalu menyerang lelaki.
 
Ketagihan
Golongan lelaki dikatakan golongan paling ramai alami ketagihan berbanding wanita. Sebahagian doktor mengatakan bahawa ketagihan merupakan satu penyakit. Lebih 100 juta lelaki di dunia bergantung pada tembakau untuk meneruskan kehidupan. Bukan itu sahaja, lelaki juga lebih ramai ketagih minuman berkafein sama ada kopi atau teh dan alkohol.
 
Kolesterol
Kolesterol merupakan blok 'binaan' penting bagi struktur sel dan digunakan untuk membuat hormon serta menghasilkan tenaga. Tahap kolesterol di dalam darah bergantung kepada apa yang anda makan. Mengambil makanan tinggi kolesterol boleh menyebabkan penyumbatan pada arteri. Masalah kolesterol tinggi boleh menjadi turun temurun di dalam keluarga. Antara penyakit yang boleh terhasil akibat terlebih kolesterol adalah masalah tiroid, buah pinggang, diabetes, obesiti dan sakit jantung.
 
Sindrom malu kencing
Sindrom pundi kencing pemalu merupakan satu gangguan kerisauan sosial yang melibatkan ketidakupayaan kencing di hadapan orang lain.  Ada beberapa simptom untuk menjelaskan sama ada anda tergolong dari kelompok ini. Antaranya, takut membuang apabila ada orang berdekatan, risau pintu tandas diketuk, risau orang mendengar bunyi membuang, terpaksa menggunakan tandas awam di dalam pesawat, kapal atau kereta api. Ini menyukarkan golongan ini bercuti malah menolak berkongsi tandas.
 
Kanser Testikel
Meskipun kanser ini kedengaran luar biasa namun menjumpai ketulan pada testikel bukan luar biasa. Antara keadaan yang menunjukkan terdapatnya masalah pada testikel dan scrotum adalah 'kehilangan' satu testikel haruslah segera bertemu dengan doktor. Perhatikan juga jika terdapat ketuat, hernia atau bengkak, ketulan lembut pada kerandut zakar, jangkitan dan rasa sakit.
 
Dengkuran kuat
Berdengkur boleh jadi satu perkara yang sangat menyakitkan hati buat pasangan tidur anda. Jika tidak dirawat, boleh jadi pasangan anda mahu tidur berasingan daripada anda. Berdengkur berlaku disebabkan oleh gangguan pernafasan. Masalah dengkur boleh disebabkan oleh masalah berat badan, merokok dan pengambilan minuman keras. Pembedahan sengau boleh membantu tetapi tidak menyembuhkan dengkuran tetapi membantu meningkatkan pernafasan hidung.
 
Kaki Atlit
Kaki Atlit atau lebih dikenali sebagai tinea pedis adalah satu jangkitan fungus yang disebabkan oleh parasit pada kulit. 90 peratus kulit yang dijangkiti fungus biasanya dirujuk sebagai kurap. Jangkitan ini boleh merebak sehingga ke keseluruhan kaki dan tapak tangan. Fungus gemar kawasan lembap terutama anda yang kerap memakai kasut yang ketat dan tidak ada ruang udara kaki 'bernafas'. Berhati-hati apabila ada kesan merah yang gatal, kulit seakan melecur dan rasa kurang selesa.